News & Articles

47

  • Senyuman manis setiap kali menyambut kehadiran ibu hamil yang membuat pemeriksaan susulan tidak pernah lekang di bibir. Ucapan salam disulami pertanyaan khabar menyenangkan sesiapa juga yang pernah menerima rawatan daripadanya. Malah sentuhan ‘emas’ tangan Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar An-Nur Dr Fatimah Mustafah, ketika menyambut kelahiran si comel sangat dinanti-nantikan. Inilah penyebab utama mengapa ramai wanita ingin mendapatkan perkhidmatannya disebabkan ikatan ukhuwah yang terjalin antara pesakit dan doktor ibarat ibu serta anak.
  • Memiliki kulit cerah dan bermata bundar, jika dilihat penampilannya ramai beranggapan wanita ini mempunyai darah campuran Arab. Pantas menolak kata-kata itu jelas Dr Fatimah ayahnya adalah orang Melayu sementara ibu berasal dari Padang, Indonesia. Mungkin juga ada keturunan sebelah datuk yang memiliki wajah seakan-akan kacukan membuatkan dia turut terkena tempiasnya.
  • Murah senyuman dan lembut tutur kata wanita kaya pengalaman ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Seri Puteri, Melaka sebelum menyambung pengajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan perubatan.
  • “Di universiti minat dalam perubatan semakin bertambah apabila saya bersama sekumpulan pelajar wanita mula bercita-cita ingin mendirikan hospital berkonsepkan Islamik. Ini disebabkan kesedaran berkenaan rawatan Islam sekitar 1980-an sangat rendah. Sebagai pelajar perubatan saya sering melihat ramai pesakit tidak menunaikan solat ketika terlantar, sedangkan mereka boleh melakukannya.
  • “Banyak juga isu kesihatan seperti pemindahan organ yang memerlukan pendekatan tersendiri. Begitu juga kepakaran doktor Muslimah yang sangat diperlukan bagi menangani rawatan membabitkan wanita,” katanya.
  • Menamatkan pengajian pada 1987, beliau kemudian ditugaskan di Hospital Besar Kuala Lumpur atau kini dikenali sebagai Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bertugas selama lima tahun dalam pelbagai bidang termasuk psikiatri sebelum melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Perubatan di Universiti Malaya (UM) pada 1991 memberikan pengalaman berharga.
  • “Ketika berada di HKL barulah saya merasai pengalaman sebenar sebagai doktor. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan. Dengan jumlah kelahiran 70 hingga 80 sehari saya terpaksa bekerja lebih 12 jam dan ada kala lebih daripada itu. Bayangkan saya keluar rumah jam 6.30 pagi dan balik hampir 8 malam, sudah semestinya anak terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah sepenuhnya. Namun suami banyak memberikan kata semangat untuk saya meneruskan kerjaya dan pengajian.
  • “Saya masih ingat ketika menyambung ijazah sarjana di UM, saya hampir berputus asa dan ingin berhenti belajar. Ini kerana anak yang masih kecil memerlukan perhatian ditambah pula tesis dan projek perlu disiapkan mengikut waktunya. Namun kata-kata suami menjadi pembakar semangat.
  • “Dia mengingatkan saya mengenai impian membuka hospital Islamik sendiri dan perjuangan memajukan ummah.
  • “Jika saya patah semangat bagaimana impian murni ini dapat dilaksanakan? Akhirnya saya bermuhasabah diri dan kembali meneruskan cita-cita untuk mendapat kepakaran dalam bidang sakit puan. Akhirnya disebabkan niat kerana Allah usaha murni saya tidak sia-sia apabila berjaya bergelar pakar perbidanan pada 1995,” katanya.

 

dr-fatimah-article

  • Ujar ibu kepada enam cahaya mata ini, selepas melalui pengalaman getir dalam bidang perbidanan, kerjaya yang memerlukan kesabaran dan semangat tinggi kini dia faham mengapa ramai wanita tidak berani mengambil pengkhususan dalam obstetrik dan ginekologi. Bagi Dr Fatimah kepentingan umat Islam menjadi keutamaan berbanding diri sendiri malah dia sentiasa kental menempuh pelbagai cabaran demi memberikan keselesaan kepada wanita terutama ibu hamil.
  • Dalam pada itu dia percaya semua wanita inginkan keselesaan ketika melahirkan anak. Rawatan dengan penuh kasih sayang, perhatian yang tidak berbelah bagi serta disantuni dengan penuh rasa hormat sentiasa menjadi pegangannya. Atas dasar ingin memberikan perkhidmatan terbaik dan patuh syariah akhirnya Dr Fatimah bersama sekumpulan doktor berjaya membuka hospital Islam pertama di Bandar Baru Bangi, Selangor.
  • “Mulanya kami bercadang membuka di Keramat, Kuala Lumpur tetapi menyedari kawasan Bangi majoriti penduduk Islam selepas pencarian demi pencarian akhirnya kami ditawarkan bangunan untuk pembinaan hospital ini. Namun selepas itu saya bertukar ke Hospital Pakar An-Nur hingga sekarang,” katanya yang bersyukur kerana impian selama ini menjadi kenyataan.

Inspirasi daripada ibu

  • Menceritakan pengalaman ibu tersayang yang disahkan menghidap kanser pangkal rahim dan terpaksa melalui pembedahan membuang rahim ia sesuatu yang sukar diterima serta sangat menyedihkan. Apatah lagi selepas pembedahan ketiga pelbagai komplikasi dihadapi hingga doktor mengesahkan jangka hayat ibu tidak lama.
  • “Berada dalam bidang perubatan, saya percaya pada qada’ dan qadar Allah namun seorang pakar perubatan tidak boleh menyerah kalah dan berusaha untuk merawat sehabis baik. Berpegang pada kata-kata ini saya membenarkan doktor melakukan pembedahan terakhir bagi menyelamatkan nyawa ibu.
  • “Alhamdulillah ibu yang dikatakan akan menemui ajal tetapi kini berada dalam keadaan sihat. Saya banyak belajar melaluinya untuk sentiasa mengutamakan pesakit dan memberikan yang terbaik kepada mereka. Jangan sesekali menyerah kalah dan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa mereka.
  • “Doktor juga tidak boleh sambil lewa atau ‘cincai’ dalam rawatan kerana kehilangan satu nyawa di belakang mereka ada anak-anak yang masih kecil perlu dibelai dan diberikan kasih sayang. Ada tanggungjawab yang belum tertunai dan perlu dilaksanakan segera,” katanya yang mengambil peluang menjaga ibu selama setahun sebelum pulih sepenuhnya.
  • Bercerita berkenaan konsep perubatan patuh syariah jelas wanita kelahiran Melaka ini dia cukup teruja apabila Hospital Pakar An-Nur akan berpindah ke bangunan yang lebih besar dan luas tidak lama lagi. Berharap dapat memperkenalkan konsep Islamik ini kepada bukan Islam kerana konsep patuh syariah sangat luas merangkumi semua aspek.
  • “Sebagai contoh sekiranya wanita tidak perlu menjalani pembedahan kelahiran sepatutnya doktor tidak boleh melakukannya. Paling penting perlu menjelaskan secara telus kepada pesakit tanpa ada sebarang niat lain. Selama ini ramai beranggapan patuh syariah hanya untuk ibadat dan makanan saja sedangkan merangkumi semua aspek,” katanya.

 

    dr-fatimah-article

  • Bersyukur memiliki anak yang memahami tugasan sebagai doktor, bagi Dr Fatimah selama ini dia tidak pernah menetapkan matlamat atau bidang kerjaya untuk keenam-enam anaknya apatah lagi menjadikan mereka sebagai doktor pakar sakit puan.
  • “Setakat ini dua orang anak mengambil jurusan perubatan iaitu dalam bidang pergigian dan pakar bedah. Itu sudah cukup menggembirakan saya kerana kepakaran dalam bidang pembedahan turut memerlukan doktor wanita terutama membabitkan pembedahan payudara,” katanya.
  • Ditanya pendapat berkenaan kegilaan masyarakat yang gemar menularkan apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka termasuk ketika menerima rawatan, nasihat Dr Fatimah setiap orang bertanggungjawab atas apa yang dilakukan mereka. Jika perkara itu baik pahala yang akan diperoleh jika sebaliknya ia bukan saja mengundang dosa tapi juga memberi kesan kepada masyarakat. Jadi berhati-hati sebelum melakukan sesuatu perkara fikir kesannya kepada diri dan masyarakat.
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 2:03 PM