Fiqh Solat

PANDUAN SOLAT BAGI PESAKIT DIALISIS

Pesakit yang menerima rawatan dialisis memerlukan masa yang agak lama untuk menyempurnakan setiap sesi. Tempoh rawatan yang dijalankan menjangkaui empat (4) hingga ke lima (5) jam. Ini mengakibatkan pesakit mengalami keletihan fizikal dan mental. Justeru, rawatan ini menjadikan pesakit sukar untuk melaksanakan solat seperti biasa, khususnya apabila ia melangkaui dua (2) waktu solat.

Antara kaedah solat yang boleh dilaksanakan oleh pesakit dialisis adalah seperti berikut;

  1. Pesakit dibenarkan untuk melaksanakan solat secara duduk di kerusi tempat rawatan dijalankan. Sebelum rawatan dibuat, pesakit dinasihatkan untuk mengambil wudhu' terlebih dahulu. Sekiranya ada halangan untuk berbuat demikian, pesakit boleh berwudhu' dengan bantuan jururawat bertugas. Ini bertepatan dengan hadis Nabi;

    صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

    Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk, dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

    (Riwayat Al-Bukhari)

    Dalam isu menghadap kiblat pula, menurut panduan JAKIM, dalam pendapat Mazhab Hanafi, bahawa pesakit yang tidak mampu menghadap kiblat boleh solat ke arah lain mengikut kemampuan keadaannya. Solat itu sah, dan tidak perlu diulang.

    Atau dalam keadaan tertentu;

  2. Pesakit dibenarkan untuk menghimpunkan (jamak) solat secara sempurna tanpa memendekkan (qasar), samada secara jamak taqdim atau jamak ta'khir mengikut jadual rawatan yang diterima. Pesakit hanya boleh menjamakkan solat apabila terdapat kesulitan untuk melaksanakan solat pada waktu tersebut.

Jabatan Syariah, Hospital Pakar An-Nur Disemak oleh Majlis Penasihat Syariah HPAN. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi 03-8923 5500 atau WhatsApp .
Kembali ke Tips Kesihatan