Sebagai Muslim, kita berpegang teguh bahawa aurat seorang perempuan adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan tapak tangan. Manakala bagi seorang lelaki adalah daripada pusat hingga ke lutut.
Aurat perempuan Muslim sesama perempuan bukan Muslim adalah sama seperti ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Manakala aurat perempuan bukan Muslim sesama perempuan Muslim adalah anggota badan yang dipandang sebagai suatu keaiban bagi seorang perempuan secara kebiasaan.
Sebagai memenuhi prinsip Islam bertaamul dengan orang bukan Islam, dibolehkan untuk melihat anggota badan perempuan bukan Muslim seperti kepala hingga ke leher, siku hingga ke tangan dan buku lali hingga tapak kaki. Sekiranya perempuan bukan Muslim melebihi daripada paras aurat yang ditetapkan, ia dikategorikan sebagai tidak mematuhi syariat Islam dan telah mendedahkan aurat.
Praktis ini telah dilaksanakan banyak di institusi kerajaan dan swasta dalam etika pemakaian pekerja atau pelawat di premis mereka.
Dan Majlis Penasihat Syariah melihat konsep etika pemakaian masih mengikut garis panduan Islam, kerana pekerja atau pelawat tidak dibenarkan memakai pakaian nipis, ketat dan terdedah seperti baju tanpa lengan, skirt atau seluar pendek dan lain-lain.
Berkaitan isu ini, ada beberapa garis panduan terhadap penggunaan model bukan Islam di dalam konteks pemasaran dan pengiklanan. Hal ini adalah untuk mencapai objektif pemasaran dan pengiklanan yang lebih luas untuk memaklumkan objektif dan kaedah rawatan yang ingin dilaksanakan.
KEPUTUSAN
Majlis Penasihat Syariah memutuskan bahawa penggunaan imej tidak menutup aurat adalah dibenarkan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Panduan Pengiklanan dan Pemasaran perempuan bukan Muslim adalah seperti berikut:
Pemilihan Model Perempuan bukan Muslim
- Perwatakan mestilah baik, sopan dan tidak mempunyai kontroversi.
- Memahami konsep Hospital Patuh Syariah dengan baik agar tidak membawa fitnah kepada syarikat.
- Tidak membuat gaya atau aksi yang tidak senonoh atau membawa fitnah kepada agama dan syarikat.
- Pemakaian sebaiknya menutup aurat dan sopan, tidak berpakaian nipis, singkat dan mendedahkan anggota berlebihan.
Bahagian yang Boleh Diharuskan Terdedah
- Kepala — leher
- Siku — tangan
- Buku lali — tapak kaki
- Tidak menggunakan imej atau props tambahan yang membawa pertentangan dan fitnah kepada agama dan syarikat.
Pemilihan Gambar Model bukan Muslim
- Gambar model mestilah sopan dan tidak menjolok mata.
- Sekiranya gambar diambil hanya sebahagian atau menumpukan kepada anggota badan tertentu, mestilah dalam keadaan sopan atau tidak membawa gambaran yang tidak senonoh kepada umum.
- Anggota badan yang diharuskan untuk didedahkan dalam gambar adalah:
- Kepala — leher
- Siku — tangan
- Buku lali — tapak kaki
- Tidak menambah imej yang bertentangan dengan agama seperti tanda salib, lambang 'dreamcatcher' dan seumpama dengannya.
Sekiranya pesakit bukan Islam ingin membuat rawatan kosmetik di HPAN, perlu mendapat pengesahan dari konsultan samada rawatan tersebut dharurat, hajat atau tahsinat kepada pesakit bukan Muslim.