DEFINISI
Rawatan penanaman rambut adalah sejenis prosedur yang akan dijalankan untuk mengembalikan rambut pada kawasan kulit kepala ataupun wajah. Ia kebiasaannya dilakukan oleh individu yang mengalami masalah seperti keguguran, kebotakan atau penipisan rambut untuk kelihatan kembali normal.
Isu penanaman rambut termasuk di bawah prosedur kosmetik dalam pembedahan plastik.
Dalam pembahasan hukum penanaman rambut, dua perkara perlu diperhatikan:
- Isu mengubah ciptaan Allah
- Hadis pengharaman menyambung rambut
Mengubah Ciptaan Allah SWT
Dalam perbahasan mengubah ciptaan Allah SWT, kebanyakan ulama akan membahaskan dalil Surah An-Nisa ayat ke-119. Namun, dalil ini terlalu umum untuk mendefinisikan hukum keseluruhan isu penanaman rambut. Isu ini perlu dilihat daripada sudut pandang yang lebih khusus dengan menggunakan dalil-dalil naqli dan 'aqli termasuk hujah-hujah perubatan serta fatwa-fatwa fiqh kontemporari sebelum memutuskan hukum bagi prosedur ini.
Hadis Pengharaman Menyambung Rambut
لعن الله الواصلة والمستوصلة
Maksudnya: "Allah melaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang minta untuk disambungkan rambut."
Berdasarkan hadis di atas, lafaz (لعن) yang membawa maksud 'laknat' jelas menyatakan kepada kita perbuatan menyambung rambut dan minta untuk disambungkan rambut itu termasuk dalam perbuatan dosa besar. Pengharaman memakai rambut palsu diharamkan ke atas lelaki dan perempuan walau dalam bentuk perubatan sekalipun.
Hal ini berdasarkan asbab wurud hadis, yang diriwayatkan daripada Asma'; datang seorang wanita bertanya kepada Nabi S.A.W dan dia berkata, "Wahai Rasulullah, anak perempuanku mengalami demam campak, dan rambutnya telah menipis. Dan saya ingin mengahwinkannya." Jawab Rasulullah; "Allah melaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang minta untuk disambungkan rambut."
Ulama' menyatakan illah kepada pengharaman ini adalah disebabkan unsur helah penipuan dalam penampilan.
Namun demikian, menjadi persoalan apakah yang membezakan pengharaman menyambung rambut dan menanam rambut khususnya dalam penyambungan rambut sintetik.
PERBAHASAN HUKUM
Memandangkan ini termasuk dalam prosedur kosmetik di bawah kepakaran pakar pembedahan plastik, dokumen Panduan Syariah untuk Prosedur Pembedahan Plastik oleh Jabatan Pematuhan Syariah dirujuk.
Setelah membuat beberapa kajian dan pembacaan, beberapa perkara perlu diambil kira dalam menentukan hukum sesuatu prosedur bagi penanaman rambut. Perkara tersebut adalah:
- Dalil khusus yang mengharamkan
- Tujuan Prosedur
- Kaedah Prosedur
- Sumber Bahan Yang Digunakan
- Implikasi/Hasil Atau Risiko Prosedur
DALIL
Dalil-dalil khusus pengharaman berikut boleh dirujuk pada Panduan Syariah untuk Prosedur Pembedahan Plastik, Jabatan Pematuhan Syariah:
- Dalil pengharaman kerana mengubah ciptaan Allah SWT berdasarkan Surah An-Nisa' ayat 119.
- Dalil pengharaman kerana menjadi helah penipuan.
- Dalil pengharaman kerana menyerupai orang kafir atau pelaku maksiat.
- Dalil pengharaman kerana kecelaruan jantina.
Dalil yang Membenarkan
Tiada nas dan dalil yang menerangkan secara terperinci tentang hukum penanaman rambut. Ia perlu dilihat kepada tujuan prosedur ini dilakukan yang akan diterangkan selepas ini. Namun demikian, berdasarkan kaedah fiqh 'Asal kepada sesuatu perkara adalah harus', maka hukum penanaman rambut dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu. Sumber bahan yang digunakan untuk menggantikan rambut asli juga mempengaruhi hukum prosedur ini dilakukan.
TUJUAN
Kebanyakan pesakit yang melakukan prosedur penanaman rambut ini adalah individu yang mengalami Alopecia iaitu kebotakan di sebahagian kawasan kepala, penuaan, keguguran yang menyebabkan rambut menipis dan faktor lain.
Niat dan tujuan dalam setiap perubatan daripada sudut syariat boleh dirujuk pada Panduan Shariah untuk Prosedur Pembedahan Plastik, Jabatan Pematuhan Syariah yang menerangkan tentang dharurat, hajiyat dan tahsiniyat.
Ringkasnya, melakukan prosedur penanaman rambut dengan tujuan tahsiniyat semata-mata adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana mengubah ciptaan Allah dan berlaku helah penipuan. Namun, jika melakukan prosedur dengan tujuan dharurat atau hajiyat, ia dibolehkan kerana untuk mengembalikan semula rambut kepada keadaan asal.
KAEDAH
Bagi permasalahan di atas, kaedah Platelet-Rich Plasma (PRP) akan turut dicadangkan kepada pesakit sebelum terus ke prosedur penanaman rambut.
Maka perlu diperhatikan secara teliti, apakah kaedah yang akan digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan supaya tidak bercanggah dengan nas dan syara'. Pemahaman terhadap kaedah sesuatu prosedur akan berkait rapat dengan parameter seterusnya iaitu sumber bahan dan implikasi yang terhasil.
SUMBER BAHAN
Dalam prosedur penanaman rambut, sumber rambut boleh diperolehi daripada rambut pesakit sendiri samada daripada kepala atau bulu pada bahagian badan yang lain atau rambut sintetik. Parameter penentuan hukum yang seterusnya adalah dengan melihat kepada sumber bahan yang digunakan.
Para fuqaha' membezakan hukum terhadap bahan dan jenis rambut yang digunakan seperti berikut:
- Rambut sendiri: Jika proses penanaman rambut itu adalah daripada rambutnya sendiri; dipindahkan daripada sebahagian rambut yang sihat kepada kawasan kepala yang keguguran rambut, maka ia dibenarkan.
- Rambut orang lain: Jika proses penanaman rambut itu adalah daripada helaian rambut orang lain, maka ia diharamkan berdasarkan dalil:
ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya: "Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam …" — Surah Al-Isra': 70
Pandangan perubatan menguatkan hikmah pengharaman penanaman rambut dengan menggunakan rambut orang lain akan menyebabkan penolakan sistem badan terhadap bendasing yang memberi kesan kepada penumbuhan rambut tersebut.
- Rambut sintetik: Jika proses penanaman rambut itu adalah daripada rambut sintetik, maka ia diharamkan. Namun, ia dibenarkan kepada pesakit yang sejak lahir tiada rambut atau apa-apa bulu di mana-mana bahagian anggota badan beserta dengan syarat-syarat berikut:
- Bahan daripada sumber yang suci
- Tidak menggunakan bahan daripada sumber yang haram
- Daripada bahan yang tidak mendatangkan kemudaratan
Selari dengan pengharaman pemakaian rambut palsu, diharamkan juga penanaman rambut daripada rambut sintetik. Namun, dikecualikan dalam hal yang disebutkan di atas.
IMPLIKASI / HASIL
Perkara utama yang perlu diperlihatkan adalah kesan kepada sesuatu prosedur. Kaedah prosedur dan rawatan mestilah tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar daripada tujuan asal prosedur. Ia ditentukan dengan kaedah akhaffu dhorurain iaitu memilih kemudaratan yang lebih kecil di antara dua kemudaratan.
Secara umumnya, setiap prosedur dan rawatan adalah berisiko namun yang membezakannya adalah kadar risikonya. Contohnya, kaedah PRP adalah lebih rendah risiko berbanding kaedah rawatan lain.
KESIMPULAN
Kelima-lima perkara tersebut perlu dinilai secara keseluruhan sebelum prosedur dilakukan. Melanggar salah satu perkara tersebut boleh menyebabkan hukum prosedur itu tertolak dan tidak boleh dilaksanakan.
Kembali ke Tips Kesihatan