Fiqh Darah Wanita

HUKUM DARAH NIFAS

1. Adakah darah yang keluar dalam tempoh kehamilan dikira sebagai haid?

Tidak, kerana dalam tempoh kehamilan, wanita yang hamil tidak mempunyai kitaran haid seperti kebiasaan. Maka, darah yang keluar dikira sebagai darah penyakit dan perlu beribadah seperti biasa. Darah haid adalah darah yang mengalir dari dalam tubuh badan wanita yang sihat dan baligh melalui faraj pada waktu tertentu.

Tempoh minima haid adalah 1 hari 1 malam dan tempoh maksimanya pula adalah 15 hari. Sila rujuk doktor sekiranya pendarahan berlanjutan.

2. Bilakah darah nifas bermula?

Darah nifas hanya bermula selepas bayi dilahirkan. Darah yang keluar sebelum kelahiran termasuk 'birthshow' tidak dikira sebagai nifas. Wanita tersebut tetap perlu beribadah seperti biasa.

Sekiranya terlalu sakit untuk melahirkan (contraction), wanita tersebut diberi keringanan untuk menggantikan solat yang ditinggalkan setelah selesai darah nifas nanti.

3. Berapa lama tempoh maksimum darah nifas?

Tempoh kebiasaan darah nifas mengikut Mazhab Syafie adalah 40 hari dan boleh mencecah maksimum selama 60 hari. Darah yang keluar lebih dari 60 hari dikira darah fasad/istihadah. Wanita yang selesai darah nifas perlu mandi hadas, kemudian beribadah seperti biasa.

4. Bagaimana sekiranya darah terhenti kemudian keluar kembali?

Darah yang keluar masih dikira sebagai darah nifas selagi mana masih dalam tempoh 60 hari maksimum mengikut Mazhab Syafie. Wanita tersebut perlu mandi bilamana darah terhenti dan beribadah seperti biasa. Namun, sekiranya darah terhenti sehingga mencapai 15 hari, maka darah yang keluar selepas itu dikira sebagai kitaran haid yang baru.

5. Bagaimana menentukan nifas bagi wanita yang keguguran kandungan?

Mengikut Mazhab Syafie, ia ditentukan berdasarkan usia kandungan. Sekiranya kandungan melebihi 40 hari, maka darah yang keluar adalah darah nifas. Sekiranya usia kandungan kurang 40 hari, darah yang keluar dikira sebagai darah haid. Namun, perlu diketahui bahawa darah nifas hanya bermula selepas janin dikeluarkan sama ada secara normal, D&C, TOP dan sebagainya.

Jabatan Syariah, Hospital Pakar An-Nur Disemak oleh Majlis Penasihat Syariah HPAN. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi 03-8923 5500 atau WhatsApp .
Kembali ke Tips Kesihatan